Laylatul
Qadar atau Malam al-Qadar telah diketahui umum sebagai malam yang amat
istimewa buat seluruh umat Islam. Ia berdasarkan ayat al-Quran dari
surah al-Qadr . Firman Allah SWT :
Ertinya : "Malam Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan" (Al-Qadr : 2) .
Di
Malam ini jugalah Nabi SAW bersungguh-sungguh beribadat melebihi
malam-malam Ramadhan yang lain. Disebutkan di dalam sebuah hadith :-
Ertinya
: Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di
sepuluh malam terakhir Ramdhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam
yang lain" ( Riwayat Muslim, no 1175 )
Sebuah lagi hadis menyebut :-
انه كان يعتكف فيها ويتحرى ليلة القدر خلالها
Ertinya : "Adalah
Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-qadar darinya
(malam-malam ramadhan)" ( Riwayat al-Bukhari & Muslim)
أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا دخل العشر أحيا الليل وأيقظ أهله وشد مئزره
Ertinya
: " Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi
menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak
menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)" (
Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Waktunya
Para
ulama antaranya Syeikh Dr Yusof Al-qaradawi menyebut bahawa tarikh
malam lailatul qadar sengaja di sembunyikan oleh Allah SWT agar umat
manusia berusaha bersungguh-sungguh bagi mencarinya, bagaimanapun ada
disebutkan terdapat tanda-tanda akan kemunculan malam yang terhebat ini.
Iaitu
seperti hari esoknya yang tidak terlampu panas dan tidak pula sejuk,
matahari pula tidak memancarkan sinarannya dan pelbagai lagi. Ia
semuanya berasal dari hadith-hadith yang sohih.
Bagaimanapun
tanda-tanda ini tidaklah begitu penting bagi individu yang benar-benar
telah beribadat sepanjang malam. Ia juga tidak banyak memberikan manfaat
kerana malam tersebut sudah terlepas sekiranya tanda itu dikenalpasti
esoknya.
Malah,
tanda ini juga adalah amat sukar menjadi tepat kerana suasana dan cuaca
sesebuah Negara adalah berlainan. Di Negara barat contohnya mungkin
sentiasa mendung kerana berada dalam musim sejuk, musim bunga manakala
di Afrika pula mungkin sedang mengalami keterikan. Adakah malam al-qadar
tidak muncul di tempat mereka kerana setiap siang adalah terik?.
Jawabnya, tanda-tanda ini hanyalah contoh yang berlaku di zaman Nabi SAW dan tidak lebih dari itu.
Menurut
pandangan yang paling kuat di kalangan para ulama, ianya berlaku pada
sepuluh malam yang terakhir, iaitu pada malam-malam ganjil.
Hadith Nabi menyebut:-
التمسوها في العشر الأواخر من رمضان
Ertinya : " Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan ramadhan" (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Bagaimanapun,
kita sekali lagi mungkin kebingungan pada tahun-tahun tertentu JIKA
negara Arab memulakan puasa pada tarikh yang berbeza dengan
negara-negara di Nusantara. Justeru, pada malam ganjil menurut kiraan
Malaysia atau Saudi ?. Hal ini sukar diputuskan oleh para Ulama.
Sudahnya, mereka menyarankan agar dihidupkan seluruh malam sahaja.
Jawapan termudah tetapi tidak memuaskan hati tentunya. Wallahu alam.
No comments:
Post a Comment