SELAMAT DATANG DAN SILA TINGGALKAN KOMEN ANDA
If you are ashamed to stand by your colours,you better seek for another flag-ALLAHYARHAM MOKHTAR DAHARI...

Tuesday, August 2, 2011

MASIH ADAKAH CINTA ?

ADAM melihat rumah itu sepi. Tingkap dan pintunya tertutup rapat. Pada mulanya dia menyangka rumah itu sudah didiami oleh emak saudaranya. Tambahan pula dia yang beriya sangat menuntut haknya sebagai pewaris tanah pesaka adat. Puaslah hatinya kerana rumah pesaka itu menjadi miliknya.

Adam berjanji pada dirinya sendiri tidak akan menuntut apa-apa kerana dia sedar sebagai anak lelaki yang dilahirkan dalam masyarakat Adat Perpatih, dia tidak berhak mewarisi apa-apa yang diistilahkan sebagai pesaka adat. .Tujuan dia pulang hanya untuk melihat rumah itu buat kali yang terakhir kerana dia sudah bertekad tidak akan menjejakkan kakinya lagi ke kampung itu buat selamanya.

Beberapa hari sebelum dibebaskan Adam sudah merangka apa yang akan dilakukannya. Mula-mula dia akan pulang ke kampung tempat kelahirannya untuk menziarahi pusara ayah dan ibunya. Kemudian dia akan melihat rumah peninggalan arwah ibunya buat kali yang terakhir. Dan selepas itu dia akan membawa diri jauh dari kampung halamannya. Dia akan berserah pada nasib. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Dia pasrah.

Bukan dia tidak sayang kepada kampung halamannya. Kalau boleh dia ingin menetap di situ sehingga ke akhir hayat tetapi apakan daya kerana pada pendapatnya tertutup sudah pintu harapan.. Tidak ada lagi peluang untuk membina kehidupoan baru. Semua yang diusahakannya selama ini sia-sia sahaja. Adam berpendapat lebih baik dia merantau jauh dari kampung halamannya untuk memulakan kehidupan baru.

Adam tahu, selama dia berada dalam penjara pernah beberapa kali Siti Hawa hendak melawatnya. Tetapi Adam menolaknya. Dia sengaja tidak mahu dilawati oleh sesiapa lebih lagi Siti Hawa. Adam ingin melupakan semua orang yang terlibat dengan dirinya sebelum di hukum penjara. Bukan dia sudah lupa kepada insan yang telah banyak menolongnya.. Dia tidak akan melupakan budi baik yang diberikan oleh Siti Hawa. Cuma dia tidak mahu Siti Hawa membuang masa menunggu dia dibebaskan dari penjara. Tambahan pula dia sedar status dirinya sebagai banduan tidak layak untuk berdampingan dengan seorang jutawan muda seperti Siti Hawa. Bagi Adam biarlah semuanya menjadi kenang-kenangan dalam hidupnya..

Kerana itu pada hari dia dibebaskan tidak siapa yang menunggunya di luar penjara. Dan dia tidak berasa sedih bila melihat kawan-kawan yang sama-sama keluar dengannya disambut oleh keluarga masaing-masing. Dia sengaja tidak memberitahu sesiapa pada hari pembebasannya. Tambahan pula dia dipendekkan hukuman kerana berkelakuan baik. Adam sudah bertekad hendak memulakan kehidupan baru secara bersendirian.

Adam berasa sedih bila melihat rumah pesaka peninggalan arwah ibunya terbiar. Halaman rumah itu semak samun. Sampah sarap bertaburan kerana tidak pernah disapu. Rumput dan tumbuhan liar memenuhi halaman rumah kerana tidak pernah dibersihkan. Kelihatan sarang anai-anai bersalut di tiang rumah. Ketika dia mendiami rumah itu dulu, setiap petang selepas Solat Asyar, Adam akan membersihkan halaman rumah. Menarah rumput yang tumbuh meliar dan sebagainya. Hasilnya, rumah itu nampak bersih walaupun rumah lama.

Adam menaiki tangga rumah itu dengan hati yang berdebar. Terketar-ketar tangannya mengetuk pintu. Dan seperti yang dijangkanya tidak ada jawapan menandakan rumah itu tidak berpenghuni. Pintu dan tingkap tertutup rapat. Terlintas juga pada fikiran Adam hendak memecah masuk melalui pintu rumah itu tetapi dia segera membatalkan niatnya kerana kuatir rumah itu sudah bertukar hak milik. Lebih baik dia pergi dari siti sebelum dituduh cuba memecah rumah..

Tiba-tiba Adam teringat kawasan paya di belakang rumah. Dia ingin melihat projek impiannya itu sebelum pergi. Ketika dia ditahan polis kerja-kerja mengeringkan air di kawasan paya itu sedang dijalankan. Kini sudah dua tahun berlalu. Mungkin kawasan paya itu terbiar semula.

Adam terpegun. Dia seperti tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Digosok matanya berkali-kali untuk mempastikan dia tidak bermimpi. Di hadapannya kini terbentang ladang Kelapa Sawit. Kawasan paya dan kawasan hutan yang dulunya semak samun kini berubah wajah. Pokok-pokok Kelapa Sawit subur menghijau menunggu masa untuk mengeluarkan hasil. Di tengah ladang itu ada sebuah rumah yang besar dan cantik. Siapakah tuan punya ladang ini?. Siapakah pemilik istana itu?. Tanya Adam pada dirinya sendiri.

Adam berjalan menghampiri rumah itu. Ia bukan rumah tapi lebih layak dipanggil sebuah istana. Adam berdiri di halamannya. Dia teringat mimpi yang pernah diceritakan oleh ibunya. Berjurus lamanya Adam berdiri di halaman rumah itu. Kembali dia sedar siapa dirinya. Sebagai bekas seorang banduan, kehadirannya di siti boleh menimbulkan rasa curiga kepada penghuni rumah tersebut. Dengan satu panggilan telefon ke Balai Polis dia boleh disumbatkan semula ke dalam penjara. Lalu Adam mengambil keputusan untuk meninggalkan tempat itu. Tiba-tiba seorang perempuan berumur keluar dari rumah itu lalu menghampiri Adam.

“ Awakkah yang bernama Adam?” tanya perempuan itu.

“ Macam mana Mak Cik tahu nama saya Adam?” tanya Adam pula.

“ Saya Mak Yam. Saya ditugaskan untuk menjaga rumah ini. Dan saya disuruh menunggu kepulangan Adam,” jawab Mak Yam.

“ Saya masih berasa hairan,” kata Adam. “ Macam mana Mak Yam tahu nama saya Adam?”

“ Tuan punya rumah ini selalu menyebut nama Adam. Dan hati Mak Yam kuat mengatakan awaklah pemuda yang bernama Adam itu.”

“ Siapa tuan punya rumah ini?. Dan siapa pemilik ladang ini?”

“ Namanya Siti Hawa. Dia lakukan semua ini kerana Adam. Awak bertuah kerana ada seorang perempuan yang mencintai awak dengan sepenuh hatinya.”

Adam tertawa. Geli hatinya mendengar kata-kata Mak Yam. “ Jangan nak bergurau dengan saya. Antara saya dengan Siti Hawa sudah tidak ada apa-apa hubungan lagi.”

“ Jangan cakap macam itu, Adam,” kata Mak Yam. “ Awak sepatutnya menghargai apa yang telah dilakukan oleh Siti Hawa.”

“ Apa yang dia dah lakukan?”

“ Ladang dan rumah ini adalah lambang cintanya kepada Adam.”

Adam terpegun mendengarnya. Namun hatinya masih berbelah bahagi antara percaya dengan tidak. Mak Yam mempersilakan Adam masuk ke dalam rumah. Pada mulanya Adam berasa segan hendak memijakkan kakinya ke dalam istana itu. Tetapi setelah didesak berkali-kali oleh Mak Yam, akhirnya Adam setuju. Dan hatinya berasa kagum bila melihat hiasan dalaman rumah itu. Persis bagaikan istana.

“ Duduklah, Adam. Nanti Mak Yam ambilkan air. Kau tentu haus dan lapar,” kata Mak Yam sambil berlalu ke dapur.

Tidak lama kemudian Mak Yam datang semula membawa seteko air kopi dan sepiring biskut. “ Jemputlah Adam. Jangan malu-malu,” pelawa Mak Yam.

Tiba-tiba telefon berbunyi. Mak Yam segera menyambutnya..“ Ada orang nak bercakap dengan Adam,” kata Mak Yam sambil menghulurkan telefon di tangannya kepada Adam. Dengan dada yang berdedar Adam meyambut telefon tersebut.

“ Hallo,” katanya.

Tetapi tidak ada apa-apa jawapan. “ Hallo,” kata Adam lagi.

“ Assalamualaikum,” kedengaran suara di gagang telefon.

Adam segera menjawab salam. Dia sudah dapat mengecam suara yang bercakap dengannya ialah Siti Hawa.

“ Selamat pulang, selamat bertemu kembali dan selamat memulakan kehidupan baru,” begitu lunak Siti Hawa menuturkannya.

“ Terima kasih,” balas Adam “ Siti Hawa di mana?”

“ Di halaman rumah.”

Adam segera keluar dan kelihatan Siti Hawa, Pak Abu dan Tuan Haji Basir berdiri di halaman. Adam mendapatkan mereka lalu bersalaman. “ Sebaik saja kami mendapat berita Adam dibebaskan terus datang ke sini,” kata Tuan Haji Basir.

“ Bersyukurlah kerana Adam sudah dibebaskan,” kata Pak Abu pula.

“ Lupakan kenangan lalu. Mari kita mulakan hidup baru,” kata Siti Hawa pula. .

“ Tetapi bukan di sini,” kata Adam. “ Saya sudah tidak ada tempat lagi di kampung ini.”

“ Kenapa Adam cakap macam itu?” tanya Siti Hawa.

“ Rumah dan tanah pesaka adat peninggalan arwah ibu saya akan diserahkan kepada yang berhak mengikut sistem Adat Perpatih. Dan saya akan pergi jauh dari sini.”

“ Adam nak pergi ke mana?. Cuba cakap pada Pak Cik?” tanya Pak Abu.

Adam termenung. Dia berasa serba salah hendak menjawabnya. Tambahan pula dia sendiri belum tahu ke mana arah tujuannya hendak membawa diri. Apa yang terlintas pada fikirannya ialah meninggalkan kampung itu.

“ Pada pendapat Pak Cik, Adam lebih selamat berada di sini dari berada di luar sana. Tambahan pula di sini Adam dilahirkan, di sini Adam dibesarkan. Rezeki Adam berada di sini bukan di luar sana.”

“ Apa maksud, Pak Cik?” tanya Adam.

“ Lebih baik kalau Siti Hawa sendiri yang menjelaskannya,” jawab Pak Abu.

“ Lebih elok kita berbincang dalam rumah,” kata Tuan Haji Basir pula.

Mereka masuk ke dalam rumah dan masing-masing mengambil tempat duduk di ruang tamu. Kemudian Siti Hawa pun berkata;

“ Tentulah tidak menjadi satu kesalahan kalau seseorang itu berkorban untuk orang yang disayanginya. Khadijah sanggup mengorbankan seluruh hartanya untuk seorang lelaki yang dicintainya bernama Muhammad. Shah Jehan sanggup membina Taj Mahal untuk orang yang dicintainya.”

Siti Hawa diam. Dia menunggu reaksi dari Adam. Namun pemuda itu terus berdiam diri. Tuan Haji Basir segera mencelah. “ Adam sanggup masuk penjara kerana sayangkan seseorang. Siti Hawa sanggup mengorbankan hartanya untuk membina rumah dan ladang ini juga kerana sayangkan seseorang. Betapa agongnya cinta.”

Perasaan Adam tersentuh bila mendengar kata-kata itu. Dia memandang Siti Hawa. Dan Siti Hawa juga membalas pandangan Adam. Mata mereka bertentangan.

“ Memang benar kata Tuan Haji Basir,” kata Siti Hawa. “ Ladang dan rumah ini untuk Adam. Terimalah ini sebagai hadiah dari Siti.”

Adam merasa lidahnya kelu untuk mengucapkan kata-kata. Perasaannya amat terharu mendengarnya. Haruskah dia menerima atau menolak hadiah itu?. Adam teringat mimpi yang diceritakan oleh ibunya.

No comments:

Post a Comment

macam-macam ada...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...