Proses pelantikan pengetua dan 
guru besar akan dimantapkan mulai tahun depan melalui pelaksanaan 
Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) 
yang dijalankan Institut Aminuddin Baki (IAB), kata Timbalan Perdana 
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, perkara itu sejajar 
dengan anjakan utama untuk mentransformasi Sistem Pendidikan Negara 
dalam memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap 
sekolah.
Menurutnya, selain NPQEL, penilaian bagi sesuatu pelantikan akan 
dibuat berdasarkan kemampuan bakal pengetua dan guru besar melaksanakan 
tanggungjawab, kreativiti dan inovasi di samping mempunyai rekod 
cemerlang sepanjang kerjaya sebagai guru.
''Sudah sampai masanya jawatan pengetua dan guru besar tidak boleh 
lagi disandang secara automatik tetapi perlu melalui suatu proses 
penapisan yang teliti dan melalui program latihan serta bimbingan yang 
komprehensif.
''Ini bermakna mereka (guru) harus melalui proses penilaian dari segi
 tahap kepemimpinan dan perkara lain berkaitan dengan kemampuan 
melaksanakan tanggungjawab. Kita nak menekankan soal kepimpinan sekolah 
untuk bukan hanya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) kementerian 
tetapi meningkatkan kualiti pendidikan negara,'' katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan 
Seminar Nasional Pengurusan dan Kepemimpinan Pendidikan Ke-20 di IAB 
Genting Highlands dekat sini hari ini.
Pada majlis sama, beliau turut melancarkan Repositori IAB yang 
berfungsi sebagai pusat bagi menyimpan, mengumpul dan menyediakan hasil 
penerbitan karya ilmiah dan penyelidikan institut berkenaan.
Muhyiddin berkata, pemantapan proses pelantikan pengetua dan guru 
besar dilakukan berdasarkan rekod beberapa sekolah yang mencapai status 
cemerlang atas faktor daya kepimpinan sekolah berkenaan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kementerian Pendidikan akan 
membuat pertimbangan sewajarnya terhadap permohonan pertukaran sekolah 
bagi guru-guru yang hidup berjauhan dengan pasangan masing-masing.
Walau bagaimanapun ujarnya, perkara itu bergantung kepada kekosongan yang ada selain sebab munasabah.
''Masalah penempatan guru (pertukaran) kita hadapi sepanjang masa dan
 tahun lalu kita menerima hampir 20,000 permohonan. Tetapi realitinya, 
jumlah yang memohon adalah jauh lebih banyak berbanding kekosongan.
''Kita tidak boleh tukar begitu sahaja kecuali tempat yang dimohon 
ada kekosongan. Kalau guru bahasa Inggeris mahu pindah ke sekolah yang 
sudah ada ramai guru subjek itu dan mahu menukar opsyen (subjek lain), 
ini akan menjejaskan pembelajaran dan pengajaran,'' tegasnya.

 
 

No comments:
Post a Comment