
KEMUNCULAN tiga pahlawan Islam, iaitu Ubaidah bin Harith, Ali bin Abi  Talib dan sepupu Ali yang juga bapa saudara Rasulullah, Hamzah Abdul  Mutalib sama sekali tidak menggentarkan pihak lawan. 
 Mereka ialah Utbah bin Rabiah dan anaknya Walid bin Utbah serta  saudaranya Syaibah bin Rabiah ingin bertarung satu lawan satu dengan  para pahlawan Islam itu. 
 Ibarat buku bertemu ruas, akhirnya ketiga-tiga pahlawan Quraisy ini  berjaya ditumpaskan dengan mudah oleh Ubaidah, Ali dan 'Singa Allah',  Hamzah. 
 Namun Ubaidah sebenarnya mengalami kecederaan parah ketika berlawan  dengan Utbah. Sebelah tangannya putus ditetak lawan. Ini menyebabkan  Hamzah segera membantu Ubaidah dengan menerkam dan terus membunuh Utbah.  
 Namun Ubaidah dengan semangatnya yang masih tinggi terus bertahan walaupun cedera parah akhirnya gugur sebagai syahid. 
 Setelah ketiga-tiga pahlawan mereka dibunuh menyebabkan, tentera  Quraisy tergamam dan tidak lagi berani mencabar untuk berlawan satu  lawan satu. Lalu strategi ditukar kepada serangan besar-besaran terhadap  tentera Islam. 
 Pihak musuh yakin dengan cara itu dengan jumlah anggota tentera  Quraisy yang lebih ramai berbanding pihak lawan, kemenangan di medan  Badar akan menjadi milik mereka. 
 Rasulullah yang mengetahui taktik serangan yang bakal dilakukan oleh  pihak musuh terus mengeluarkan arahan kepada anggota tentera baginda,  satu arahan yang disifatkan agak pelik dan luar biasa kerana tidak  pernah strategi seperti itu dilakukan sebelum ini.
 Lazimnya serangan akan dibalas dengan serangan. Maka pada suatu titik  pertempuran kedua-dua belah akan bertempur dan berlawan antara satu  sama lain. 
 Tetapi kali ini baginda meminta anggota tenteranya supaya bertahan.
 Baginda memerintahkan supaya tenteranya duduk berlutut dan menunggu kemaraan pihak musuh. 
 "Kalau pihak musuh mula menyerang sambil memanah kamu bertahan di  belakang perisai masing-masing. Tetapi apabila mereka semakin dekat dan  menyerbu untuk menyerang ketika itulah kamu segera bangun dan serentak  itu juga kamu balas serangan dengan cara mengejut," tegas Rasulullah. 
 Sebagaimana yang dijangkakan, gerombolan tentera Quraisy mara dan  apabila mendapati pihak Islam tidak turut mara, mereka begitu galak  untuk terus menyerang dengan anak-anak panah dihala dan menghujani  tentera Islam. 
 Sebagaimana diarahkan, tentera Islam hanya tunduk menahan di sebalik  perisai masing-masing. Namun ada juga anggota tentera Islam yang menemui  ajal akibat terkena anak panah yang beracun dari pihak musuh itu. 
 Namun pasukan tentera Islam terus bangkit secara mengejut dan  mengeluarkan pedang masing-masing lalu dengan pantas menyerang pasukan  Quraisy yang menyerbu mereka.
 Lalu berlakulah pertempuran buat pertama kalinya antara tentera kafir Quraisy dan tentera Islam. 
 Walaupun dalam jumlah yang sedikit daripada pihak lawan namun tentera  Islam tetap bertarung seolah-olah kekuatan seorang tentera Islam itu  mampu mengalahkan lebih dari seorang tentera musuh. Atau dengan nisbah  1:3. 
 Begitupun dikatakan bantuan Allah sebagaimana yang dipohon oleh baginda turut bersama dengan pasukan tentera Islam.
 "Bergembiralah wahai Abu Bakar! Bergembiralah wahai Abu Bakar! Ini  Jibrail, malaikat yang sedang menunggang kuda putih datang bagi  mengetuai 1,000 malaikat lain yang turun membantu kita," kata Rasulullah  SAW. 
 Kehadiran para malaikat untuk membantu itu sebenarnya tidak disedari  oleh para anggota tentera Islam yang lain. Ini kerana mereka tetap  beradu berlawan dan bertempur walaupun ada malaikat yang turut memerangi  kafir Quraisy itu. 
 Dalam satu riwayat oleh Ibnu Saad menyebutkan: "Pada hari itu ada  kepala orang Quraisy yang gugur tanpa diketahui siapa yang memenggalnya  dan ada tangan yang putus sehingga terpelanting jatuh ke tanah tanpa  diketahui siapa yang mencantasnya."
 Dan pelbagai lagi dikisahkan oleh para sahabat mengenai kehadiran para malaikat yang membantu tentera Islam.
 Begitu pun dikatakan di pihak musuh ada Iblis yang menyamar untuk membantu mengalahkan tentera Islam pula. 
 Iblis menyamar diri sebagai Suraqah bin Malik (terkenal sebagai musuh  Islam dan pernah memburu Rasulullah ketika baginda keluar menyelamatkan  diri bersama Abu Bakar As Siddiq sehingga mereka menyembunyikan diri ke  Gua Tsur).
 Tetapi apabila Iblis itu menyaksikan kehadiran ribuan para malaikat,  dia menjadi gentar dan tahu adalah mustahil untuknya membantu  mengalahkan tentera Islam. 
 Apabila iblis itu ditahan apabila dilihat cuba melarikan diri, Iblis  itu berkata dengan ketakutan: "Aku melihat apa yang kamu tidak lihat,  aku benar-benar takut!" 
 Tentera musuh mula melihat tanda-tanda kekalahan apabila satu demi  satu atau semakin ramai tentera mereka yang berjaya dibunuh oleh tentera  Islam.
 Begitupun mereka masih diperkuatkan dari aspek semangat oleh ketua  panglima mereka yang tak pernah mengenal erti kalah, Abu Jahal. 
 Sesuai dengan peranannya, Abu Jahal akan mengeluarkan kata-kata  semangat dan menyeru kepada bala tenteranya supaya meneruskan serangan  kerana inilah sahaja peluang yang ditunggu-tunggu selama ini untuk  mereka menghancurkan umat Islam.
 Jika ada di kalangan tentera Quraisy yang mati ditangan tentera  Islam, tuduh Abu Jahal hanya disebabkan mereka bertindak terlalu gopoh  dan tidak berhati-hati.
 Namun Abu Jahal benar-benar tidak dapat menerima hakikat bahawa kekalahan akan hanya menjadi milik kepada tentera yang beliau pimpin. 
 Malah nyawanya sendiri dalam bahaya kerana sentiasa diintai dan  diambil kesempatan untuk dibunuh oleh mereka yang begitu marah dengan  tindak tanduk beliau selama ini yang begitu memusuhi Islam.